Musafir ke Acheh merupakan kali kedua perjalanan saya menggunakan pesawat AirAsia. Cabaran perjalanan kali ini menguji kekuatan hati kerana perlu berpisah sementara dengan anak-anak yang masih kecil. Saya pergi dengan separuh hati. Tetapi, memohon kepada Allah agar ia menjadi sebuah perjalanan yang diberkati dan ada sesuatu yang saya dapat apabila pulang nanti. Allah makbulkan. Banyak sangat saya belajar dari perjalanan kali ini. Dari
supervisor saya sendiri dan dari Acheh itu sendiri. Pengalamannya nampak begitu kecil, tetapi sangat membawa makna yang besar buat diri saya.
Perjalanan sekitar hampir dua jam dengan pesawat AirAsia
AK 1305 BTJ sedikit mengujakan. Pengalaman dahulu ketika pernah terbang dengan cinta bulan madu ke Langkawi sedikit sebanyak mengurangkan gerun hati terbang di angkasa sana. Sungguh, menaiki pesawat adalah agak sukar buat saya yang agak gayat dengan ketinggian. Tak terbayang di fikiran berada beribu batu jauhnya dari permukaan bumi yang biasa dipijak.
Pesawat membelah awan sekitar pukul 5 petang dan saya mulakan perjalanan dengan menyebut nama Allah. Kami duduk di
hot seat yang mana perlu di
booking dengan tambahan bayaran RM 60 satu tempat duduk. Tempat duduk saya kedua dari tingkap, di antara pensyarah saya dan seorang lelaki Belanda. Sayup-sayup saya lihat dari pesawat kami, permukaan bumi yang ditinggalkan, mengecil dan semakin mengecil hingga hilang dari pandangan.
Hati masih gundah gulana risaukan keadaan anak-anak saya
Adni dan
Alya yang ditinggalkan. Ini kali pertama mereka tidur malam tanpa saya. Pada usia Adni 2 tahun 6 bulan dan Alya 9 bulan, ini kali pertama mereka benar-benar berjauhan jasad dari ibu mereka merentasi beribu-ribu batu yang tidak memungkinkan saya balik menjengah mereka.
Sambil melayan perasaan dan tidak berasa mengantuk, saya membelek-belek bahan bacaan yang dibawa. Majalah Gen-Q dan Solusi dibawa buat peneman bosan di dalam pesawat. Tetapi, barangkali kerana pesawatnya asyik melanggar awan, suasananya seperti menaiki bas dan menyebabkan saya pening jika terus fokus untuk membaca.
Saya tutup majalah, bersandar di kerusi, cuba melelapkan mata sambil hati terus menerus bertasbih memuji dan memuja Allah. Kadangkala nakal fikiran terfikir, jika Allah mentakdirkan cuaca buruk dan pesawat perlu mendarat tiba-tiba, apakah yang akan saya lakukan? Adakah saya bersedia dengan sebarang kemungkinan kecemasan yang mungkin berlaku? Adakah saya benar-benar faham apa yang perlu dilakukan terutamanya sebagai penumpang barisan paling hadapan, dalam keadaan serba cemas? Saya hampir terlelap dengan pelbagai perkara bermain di minda.
"
Sebentar lagi makanan anda akan dihidangkan bagi mereka yang sudah menempah dari awal", begitu kira-kiranya pengumuman disampaikan pramugari pesawat.
Sepuluh minit kemudian, saya dihidangkan dengan makanan yang ditempah pensyarah (semasa
booking) iaitu sepotong Pizza yang nampak begitu menyelerakan, ditaburi limpahan keju dan rotinya yang lembut. Cukup kecil tetapi memadai sebagai pengalas perut.
Selesai makan, saya mengepam susu di bawah balik baju panas yang dibawa. Cabaran pertama kali mengepam di luar zon selesa, benar-benar membuahkan sebuah ketidakselesaan ditambah pula dengan kehadiran seorang lelaki di sebelah saya. Saya akhirnya membuat keputusan mengepam di tandas pesawat sebelum mendengar arahan dari
pilot agar semua penumpang kembali ke tempat duduk kerana akan mendarat sebentar lagi.
Kami tiba sekitar pukul 5.30 petang waktu tempatan Acheh. Beza waktu hanya satu jam dari Malaysia. Jadi, di Malaysia sudah pukul 6.30 petang.
Lapangan terbang Sultan Iskandar Muda sangat kecil. Menurut Pak Rizal (seorang dosen UNSYIAH merangkap
tourist guide kami), kawasan tersebut terkena kesan gempa akibat tsunami yang melanda Acheh tahun 2004 yang lalu. Setelah 7 tahun berlalu, lapangan terbang itu diperbaiki dari semasa ke semasa dengan bantuan dari banyak negara, dan masih banyak lagi bahagian yang perlu diperbaiki dan dibangunkan.
Badan terasa amat letih. Kami tiba di hotel
Hermes Palace untuk
check-in dan terus berehat untuk kemudiannya dijemput Pak Rizal, dan makan malam di banda Aceh.
Berada di bandar yang pernah dilanda tsunami dan sedang memijak tanah yang suatu ketika dahulu pernah basah dengan air lautan yang hitam berminyak, pernah berdarah dengan darah ribuan mangsa yang telah pergi meninggalkan kita dengan cara pemergian yang cukup sukar untuk dibayangkan agak menggerunkan.
Dalam hati, saya bertawakkal kepada Allah. Semoga kami selamat. Dalam hati saya beristighfar, kerdil amat diri manusia ini. Ombak tsunami itu sudah cukup gerun untuk difikirkan apatah lagi dialami sendiri, inikan pula Pencipta tsunami tersebut. Ketakutan kepada ombak tsunami menyalurkan rasa takut kepada Allah.
Malam itu, mata saya basah di bentangan sejadah. Cuba mencari sisa-sisa kekuatan untuk mengukir istighfar di bibir dan di hati.
Izinkan ku ucap kata taubat
Sebelum Kau memanggilku
kembali pada-Mu, menutup waktuku
Izinkan ku serukan nama-Mu
Sebelum nyawa dalam tubuhku
Kau ambil, kembali pada-Mu
Karna ku tahu, hanyalah pada diri-Mu
Tempatku mengadu, tempatku mengeluh
Di dalam do’aku
Dan demi nafas yang telah kau hembuskan dalam kehidupanku
Ku berjanji, ku akan menjadi yang terbaik
Menjalankan segala perintah-Mu, menjauhi segala larangan-Mu
adalah sebaris do’a ku untuk-Mu
HambaMu ini berdosa ya Allah...
Astaghfirullah...