Saturday, December 3, 2011

Saya Minta Maaf

Perkataan maaf adalah sesuatu yang boleh menjadi sukar dan boleh juga menjadi mudah untuk diungkapkan. Sudut pandang kita terhadap orang lain memberikan hasil yang berbeza dalam mengungkapkan kata maaf.


Dalam satu situasi, seorang pensyarah akan lebih dihormati dan sekiranya pegawai melakukan kesalahan maka, ucapan maaf akan terkeluar dengan spontan. Kerana dia tahu bahawa kesalahan yang dilakukan itu akan mengakibatkan kesusahan di pihak pensyarah tersebut.

Adapun dalam satu situasi lain, seorang kuli hanya dibalas dengan kata-kata kurang enak tatkala berurusan sedangkan yang bersalah masih lagi di pihak pegawai tersebut.

"Minta tolong uruskan hal ini segera ya" mohon si 'kuli'.

"Awak fikir saya kerja untuk awak je? Menyusahkan."

Inilah masalah utama yang sering berlaku dalam senario pelbagai kehidupan kita. Baik sebagai orang yang hendak memulangkan jubah konvo yang lewat, ataupun orang yang hendak disemak tesisnya ataupun orang yang gaji atau elaunnya masih tertunggak dan tidak berbayar lagi.

Seringkali, masyarakat kita memandang tahap pekerjaan seseorang itu sebagai balasan bagaimana dia perlu dilayan. Dan jika anda cantik, itu satu bonus. Jika anda kaya, itu juga satu bonus. Jika anda dari keturunan yang baik-baik dan terkenal dengan baik-baiknya itu, itu juga satu bonus.

Tapi, jika anda hanya ingin menjadi orang yang rendah diri, berbudi bahasa dan ingin menjalankan perintah agama agar berkasih-sayang sesama Mukmin, dan tidak ada bonus-bonus yang disebutkan, realiti dunia impian anda berbeza. Kesabarannya perlu tinggi. Muka pun kena tebal beberapa inci. Kerana kadangkala layanan buruk itu bukan hanya A dan B tetapi melibatkan sesiapa juga yang mendengar di sekeliling.

Ya, jika orang lain melakukan kesalahan dan seterusnya mendatangkan kesulitan dan kesukaran buat yang menghadapinya, tak kiralah dia itu orang besar atau orang kecil, jika ucapan maaf dihulur dengan seikhlas hati, insyaAllah sejuk sikit hati kawan tu.

Kita tidak hanya mengucap maaf kepada orang atasan kita, tapi seharusnya selagi kita mahu menjadi Mukmin yang baik, ucapan maaf juga harus jika berbuat salah kepada orang yang tak berapa atasan.

Samalah macam kehidupan kita sebagai hamba-Nya. Ada orang tak malu berbuat salah dan dosa, malah berbangga pula dengan kesalahan dan dosa yang dilakukan. Nabi s.a.w memberi ingatan untuk mereka ini iaitu: "Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata: "Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini..." maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya." - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Ada pula orang yang sedar dia buat salah, malu pada Allah, dan bertaubat segera kepada-Nya. Kita ingin menjaga hubungan dengan Allah yang kita sebut itu sebagai hablumminAllah. Tetapi, seiring dengan itu, tuntutan agama turut menggariskan agar kita menjaga hubungan dengan manusia, dan kita sebut itu sebagai hablumminannas.

Pucuk pangkalnya, sama ada anda mahu menjadi Mukmin yang baik dan berusaha untuk menjadi baik atau anda hanya ingin melalui kehidupan seperti biasa, tak perlu ada apa-apa masalah dan tak mahu dibebankan dengan masalah orang lain yang akhirnya memberikan perbezaan kepada cara layanan anda kepada orang lain.

Jika kita ingin berusaha menjadi Mukmin yang baik, usahakan menghargai dan meraikan sesiapapun di sekitar kita baik dia bos atau dia kuli. Jika kita bersalah, tidak ada ruginya dan tidak jatuhnya ego hanya dengan berkata:

"Saya minta maaf".

1 comments:

sisanizu

Sy faham Fizah..sy memang selalu terkene berurusan dgn org yg bersikap mcm ni..

semoga Allah permudahkan urusan Fizah..amin..