Semasa di Acheh, saya hanya berkomunikasi dengan suami melalu emel. Walau bagaimanapun, kalau nak guna telefon menurut suami saya, adalah lebih murah jika kita membeli simkad di sana untuk menghubungi ke Malaysia berbanding kita melakukan roaming. Di sana, plug point (untuk cas telefon) tidak seperti di Malaysia di mana saya perlu membawa international adaptor yang telah dibeli di Econsave Bangi dengan harga RM 10.
Hari ketiga adalah hari terakhir kami di Acheh dan merupakan hari jalan-jalan. Semasa menunggu Ibu Fitri yang juga dosen di Unsyiah (kerana Pak Rizal mempunyai urusan lain) menjemput kami melawat sekitar Banda Aceh di lobi hotel, kami dipertemukan dengan seoraang lelaki pembawa teksi yang kebetulan merupakan seorang mangsa tsunami.
Kami berbual-bual dan saya nampak kekuatan dan ketabahan orang Acheh melalui percakapannya dalam menghadapi musibah tersebut.
Menurutnya, pada pagi hari kejadian, dia berada di rumah. Kemudian sekitar 8 pagi dia merasakan rumahnya beroleng-oleng ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah. Dia fikir itu gempa yang biasa berlaku di Acheh dan tidak melarikan diri. Berdiri tidak boleh, duduk juga tidak boleh, dia akhirnya meniarap ke lantai untuk menstabilkan diri. Kemudian, beberapa ketika dia bangun untuk membuka pintu dan sejurus dia buka pintu, air hitam berminyak menderu menerjah masuk ke dalam rumah. Dia dibawa ombak tsunami entah ke mana tidak ketahuan. Dari permukaan bumi, dia naik tinggi hingga tak kelihatan lagi sesiapapun dan tak kelihatan lagi bumbung-bumbung rumah.
"Apa perasaan encik ketika itu?" saya bertanya.
"Ini adalah cubaan kan. Cubaan dari Allah." Datar suaranya menjawab pertanyaann saya. Menerima ujian itu sebagai perkara yang seharusnya ditunjangi dengan iman kepada Allah.
Selepas dibawa tinggi oleh ombak, air kemudian surut juga dengan sangat cepat, sekitar 10 atau 15 minit. Dibawa air, dia terhempas ke dinding, kaki terkait paku-paku dinding, kepala terhantuk dan kesakitan itu terus dialami sehingga air surut dan kembali berpijak di lantai bumi. Untuk bergerak mendapatkan bantuan, dia perlu berjalan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa melangkah di celahan puluhan mayat yang terdampar di sekitarnya. Bantuan tiba keesokan harinya. Beliau kehilangan kira-kira 15 orang ahli keluarga asbab tsunami tersebut.
Pengalaman cukup ngeri untuk kita alami kerana memikirkannya sahaja sudah cukup menakutkan. Tetapi, Allah membesarkan hati orang yang mengalaminya, agar dengan ujian itu...kita kembali kepada-Nya.
Kembali ke asal fitrah manusia hamba.
penangan upin ipin
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment